Thursday, May 17, 2007

Selamat Pengantin Baru...

KUALA KANGSAR: Pasangan Diraja, Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah dan Zara Salim Davidson hari ini diijab kabul pada satu istiadat pernikahan diraja di Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini. Istiadat akad nikah disempurnakan Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria di hadapan Sultan Perak Sultan Azlan Shah, Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, kerabat diraja Perak dan keluarga Zara. Walaupun istiadat itu diadakan secara sederhana dan ringkas di Balai Istiadat, ia dijalankan dengan penuh adat istiadat diraja. Istiadat pernikahan itu bermula pada pukul 10.30 pagi dengan keberangkatan masuk Sultan Azlan Shah dan Tuanku Bainun ke Balai Istiadat. Raja Nazrin, 50, yang kelihatan segak dan tampan dengan berbaju Melayu putih serta bersampin sedondon dengan tenang melafazkan akad nikah, dengan sekali lafaz pada pukul 11 pagi ini disaksikan kira-kira 300 tetamu. (Embedded image moved to file: pic23676.jpg) Raja Nazrin dan Zara saling bertentang mata di atas peterana selepas upacara menyarung cincin pada istiadat Akad Nikah Diraja di Balai Istiadat, Istana Iskandariah, Bukit Chandan. (foto Bernama) Adinda baginda Raja Datuk Seri Ashman Shah iaitu Raja Kecil Tengah Perak serta Datuk Seri Mohd Salleh Ismail, suami kepada adinda baginda Raja Datuk Seri Azureen, menjadi saksi pernikahan baginda. Bapa Zara, Salim Davidson semalam telah mewakilkan wali kepada Harussani untuk mengijabkabulkan anaknya Zara dengan Raja Nazrin, dan upacara menandatangani surat mewakilkan wali itu telah diadakan di Bilik Merah, Istana Iskandariah. Majlis itu turut disaksikan ibu Zara, Sharifah Azaliah Tan Sri Syed Omar Shahabudin dan abangnya Jeffri. (Embedded image moved to file: pic17492.jpg) Zara, dengan keayuan dan kelembutannya bersama hiasan selendang, menyarungkan cincin kepada Raja Nazrin. Raja Muda Perak itu menyarungkan cincin emas bertatah berlian, manakala Zara membalas dengan cincin perak kepada baginda. (foto Bernama) Zara, 34, adalah cicit kepada Sultan Kedah ke-24 Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan datuknya Syed Omar ialah Menteri Besar Kedah yang ketiga. Sejurus selesai akad nikah, Mufti Kerajaan Negeri Perak membacakan doa kesyukuran dan diikuti dengan bacaan selawat Nabi oleh kumpulan Haqqani Maulud Ensemble. Sultan Perak dan Raja Permaisuri kemudian berangkat meninggalkan majlis sementara Raja Nazrin pula berangkat ke bilik bersebelahan Balai Istiadat di mana Zara, sedia menanti untuk upacara menyarung cincin. Zara, berkebaya labuh kontemporari yang diperbuat daripada French lace dihiasi dengan taburan kristal dan manik serta dipandankan dengan kain sarung chiffon sedondon berwarna putih gading, hasil rekaan pereka fesyen terkemuka Radzuan Radziwill, yang merupakan anak kelahiran Bandar Diraja ini. Keayuan dan kelembutan Zara terpancar dengan hiasan selendang French netting sepanjang tiga meter yang ditaburi dengan kristal. (Embedded image moved to file: pic00946.jpg) Zara mencium tangan Raja Muda Perak selepas upacara menyarung cincin.(fotoBernama)



Selepas menyarung cincin, Zara pula menyarungkan cincin perak ke jari Raja Nazrin dan Zara kemudian mencium tangan suaminya dan Raja Nazrin pula mengucup dahinya.



Istiadat pernikahan pengantin Diraja dimulakan dengan Orang Kaya Temenggong Paduka Raja Datuk Seri Wan Fathir Wan Hussain menghadap Sultan Perak untuk memulakan istiadat tersebut.



Ia diikuti dengan jejawat membawa masuk bingkisan Raja Muda untuk Zara sebanyak sembilan pahar berserta mas kahwin 250 gram emas tulen dalam bentuk lima kepingan emas berserta sebentuk cincin bertatahkan berlian. Sementara rombongan pihak perempuan yang diketuai Datuk Tunku Hamdy Tunku Ahmad Tajuddin membawa 11 pahar berserta sebentuk cincin perak untuk Raja Muda sebagai kurniaan balas yang dipersembahkan kepada ketua rombongan pengantin lelaki Raja Ashman.



Kurniaan balas itu didahului dengan tepak sireh perak berkemasan emas, sireh junjung lima tingkat dengan dihiasi bunga ros berwarna krim dan bunga raja deli putih. BERNAMA












No comments: