Tuesday, April 3, 2007

Petua - Petua

MENGHILANGKAN PARUT

Daun senduduk boleh digunakan untuk menghilangkan parut. Caranya ialah dengan mengambil beberapa helai daun senduduk, kemudian upar-uparkan hingga keluar air dan gosok daun pada parut. Ia juga boleh menghilangkan jerawat pada muka dengan mencampurkan airnya dengan bedak sejuk.

MENGAWAL LELAH

Daun ati-ati boleh digunakan sebagai penawar lelah. Caranya, ambil beberapa helai daun ati-ati, basuh dan bersihkan serta di tumbuk lumat. Sapu daun yang telah lumat tadi pada dada sehingga paras pusat. Hasilnya akan diperolehi setelah diamalkan beberapa kali.

MERAWAT LUKA

Daun inai selain untuk memerahkan jari ia juga boleh digunakan untuk merawat luka, samada luka luaran mahupun dalaman. Jika kulit kita terluka, ambil beberapa helai daun inai, tumbuk sehingga lumat kemudian diletakkan pada luka untuk menghentikan pendarahan. Bagi wanita yang baru lepas bersalin atau menjalani pembedahan, makan daun inai tujuh helai pagi dan petang sehingga sembuh.

MERAWAT BISUL

Getah dari pohon kemboja boleh digunakan untuk merawat bisul. Caranya, sapu getah tadi pada bisul dan hasilnya, bisul tadi akan beransur pulih.

MERAWAT PENYAKIT MATA

Bunga melur juga boleh digunakan untuk mengubati penyakit mata. Caranya, ambil beberapa kuntum bunga melur. Rendam seketika didalam air, kemudian ambil air tadi dan disapu pada mata dengan menggunakan tuala lembut. Rasa sejuk air ini akan melegakan rasa tidak selesa pada mata.

PETUA MENJAGA MUKA

1. Tomato dan epal boleh digunakan untuk melicinkan kulit. Caranya, parut tomato atau epal yang cukup masak, kemudian gosokkan perlahan-lahan pada wajah dan leher. Gelatin pada tomato boleh menghilangkan parut. Biarkan selama 20 minit dan selepas itu cuci dengan air suam. Amalkan selalu untuk hasil yang memuaskan.

2. Serbuk kulit kayu manis yang dicampur dengan bedak sejuk dan sedikit air boleh digunakan untuk menghilangkan jerawat. Caranya, sapu campuran tadi pada muka sebelum tidur. Jika diamalkan, jerawat akan hilang dan muka akan menjadi lebih licin.

3. Ambil kayu cendana, basahkan dengan air dan asah pada batu. Kemudian sapukan ia pada jerawat dan hasilnya pasti memuaskan.

4. Kulit pisang emas boleh digunakan untuk menghilangkan parut jerawat. Caranya, sapukan kulit pisang tadi pada bekas parut. Lakukan setiap hari hingga kesan itu hilang.

5. Ambil segenggam kacang hijau, dikisar halus lalu dicampur sedikit kuning telur. Kacau hingga rata ramuan tadi dan disapu pada muka perlahan-lahan. Setelah lebih kurang 15 minit, basuh muka dengan menggunakan air suam. Hasilnya kulit muka akan cerah dan berseri.

6. Ambil segelas susu segar, sapu pada muka dan gosok-gosok hingga rata, melekit, dan kering. Cuci dengan air suam dan lakukan dua kali seminggu. Anda akan mendapat kulit muka yang gebu dan licin.

PETUA MENJAGA RAMBUT

1. Rambut yang lebat dan panjang sentiasa menjadi idaman setiap orang. Untuk itu ada cara yang paling mudah yang boleh anda amalkan. Mula-mula ambil beberapa batang serai dan tumbuk sehingga pecah. Rebus serai itu sehingga mendidih dan apabila air serai itu sejuk, sapukan rata-rata kepada rambut anda dan seelok-eloknya ramas pada bahagian kulit kepala. Setelah lebih kurang dua jam barulah dibasuh seperti biasa. Amalkan sekurang- kurangnya seminggu.

2. Jika rambut anda selalu gugur serta nipis, cuba amalkan petua ini. Ambil beberapa biji buah keras dan bakar sehingga bewarna kekuningan. Tumbuk buah tadi sehingga hancur dan campurkan dengan minyak kelapa. Pada setiap pagi, sebelum mandi sapukan bahan tadi pada rambut dan biarkan selama 30 minit. Cuci rambut seperti biasa. Amalkan dua kali seminggu. Insya-Allah anda akan nampak perubahannya.

3. Rambut mudah beruban jika tidak dijaga dengan baik terutama kepada orang muda. Oleh itu ada petua yang boleh diamalkan untuk mengatasi masalah itu. Caranya, bancuh sedikit minyak kelapa, lendir dari daun lidah buaya dan air limau nipis sehingga sebati. Kemudian bahan tadi dilumur pada kepala sebelum mandi. Biarkan selama setengah jam, barulah dibasuh bersih-bersih dengan menggunakan syampu yang sesuai. Lakukan tiga kali seminggu.

4. Anda pasti gembira sekiranya rambut anda selembut sutera seta mudah disikat. Untuk itu amalkan cara ini. Sekiranya anda bercadang untuk membasuh rambut pada esok hari, lurutkan rambut anda dengan minyak bijan sebelum tidur. Esok, syampu rambut dan bilas sehingga bersih. Lap rambut anda sehingga hampir kering. Kemudian, ambil sedikit minyak bayi atau minyak zaitun dan digunakan sebagai perapi rambut. Kalau anda berambut lurus, bolehlah disikat terus. Tetapi jika anda berambut kerinting, seelok-eloknya biar seketika dan kemudian barulah disikat ( ini untuk mengelakkan rambut dari putus dan bercabang ).

No comments: